Usahawan dan peniaga
perlu mengetahui tentang ciri-ciri usahawan islam yang benar-benar menepati
ajaran islam dan diakui oleh islam serta diredai Tuhan dan rasul-Nya.Antara
ciri-ciri tersebut ialah:
1.Menunaikan solat lima waktu.
Usahawan perlu menunaikan solat lima waktu setiap hari. Solat adalah tiang
agama yang perlu ditunaikan di mana sahaja berada. Ramai usahawan mengabaikan
solat lima waktu kerana terlalu sibuk berniaga. Mementingkan wang sehingga
mengabaikan solat. Usahawan tidak pernah memandang nasib pada masa hadapan
iaitu akhirat.
Manusia yang sentiasa berterima kasih kepada Allah ialah manusia yang
menunaikan perintah Tuhan walau di mana pun berada. Menunaikan solat adalah
kewajipan kepada orang islam yang mukallaf. Menunaikan solat bukan mengambil
masa yang lama dan panjang. Luangkanlah masa mengerjakan solat.Jadilah usahawan
yang diredai Allah dan nabi-Nya. Apalah guna mendapat rezeki yang banyak, memandu
BMW, tinggal di banglo mewah,memiliki suami atau isteri yang cantik,mendapat
anak-anak yang sihat, mampu melancong sana sini tetapi di dalam kubur nanti
menerima pukulan mungkar dan nangkir, manakala akhirat kelah dihumban ke
neraka. Itulah balasan usahawan yang mengabaikan solat.
2.Mementingkan rezeki halal.
Perniagaan mempunyai pelbagai cabang. Islam hanya menghalalkan segala jenis
perniagaan yang bersih. Sikap usahawan yang tidak pernah mengambil berat isu
halal haram adalah usahawan yang tidak mementingkan agama. Menjual dadah, arak,
mengamalkan rasuah, judi, menipu, menyembunyikan aib produk, menjual produk
tarikh luput, monopoli, menyorok barang adalah antara contoh perniagaan yang dilarang
sama sekali. Namun segelintir usahawan mahu cepat kaya dan mahu mengambil jalan
pintas.
Begitu juga usahawan yang menipu dalam timbangan dan sukatan kerana mahu
mengaut lebih keuntungan.Ada juga usahawan yang menjual emas yang telah
dicampur dan mendakwa ianya asli dan tulin. Pelbagai usaha dan langkah
dilakukan usahawan untuk mengaut keuntungan tanpa mengira perbuatan tersebut
adalah salah. Usahawan yang mahu mendapat keredaan Allah perlu menjalankan
perniagaan dengan cara yang jujur, amanah, bersih dan suci. Usahawan yang
mementingkan rezeki yang halal adalah usahawan yang diakui Tuhan sebagai
usahawan yang taat dan mendapat balasan baik di akhirat nanti.
3.Sentiasa benar.
Kebanyakan usahawan berpendapat jika seseorang mahu berjaya dalam perniagaan
perlu belajar menjadi penipu dan pembohong. Sifat berbohong dan menipu akan
melariskan perniagaan. Memang tidak dinafikan berbohong akan mudah melariskan
jualan dan memajukan perniagaan kerana pelanggan mudah percaya dan tertarik
dengan apa yang dikatakan usahawan. Walaubagaimanapun sikap berbohong dan
menipu adalah sikap yang dibenci oleh Allah.Islam tidak pernah menghalalkan
perbuatan berbohong untuk melariskan perniagaan.
“Berkatalah benar walau pahit sekalipun”, begitulah sabda nabi. Dan sebuah
hadis bermaksud “Benar itu membawa kepada kebenaran dan kebenaran itu membawa
kepada syurga”. Kedua-dua hadis tersebut jelas menunjukkan kepentingan sifat
benar. Usahawan yang mahu mendapat keredaan Tuhan perlu sentiasa benar dalam
apa jua yang dilakukan samaada dalam kehidupan seharian atau perniagaan. Jangan
mengharapkan jualan yang laris dengan sikap berbohong. Berbohong akan
menyebabkan rezeki yang diperolehi menjadi haram dan tidak berkat. hidup
usahawan islam yang mahu cemerlang.
Sentiasalah benar dalam perniagaan. Jangan menipu dan berbohong kerana tamakkan
keuntungan.Jangan jadikan rezeki itu haram dan tidak berkat. Jangan campakkan
diri dalam kerosakan akibat berbohong dan berdusta.
4.Mengutamakan hak pengguna.
Usahawan yang diredai Allah dan nabi-Nya adalah usahawan yang menjalankan
perniagaan bukan semata-mata mengaut keuntungan tetapi juga mementingkan hak
pengguna. Usahawan yang menjual daging ayam yang tidak disembelih dengan betul
dan menepati syariat ialah usahawan yang tidak menghormati hak pengguna.
Usahawan yang menjual dengan harga terlampau tinggi adalah usahawan yang tidak
menghormati pengguna. Usahawan yang memuji kualiti produk melebihi kualiti
sebenar adalah tidak bertanggungjawab.Usahawan yang menjual produk tiruan
adalah tidak bertanggungjawab. Usahawan yang menjual produk yang membahayakan
pengguna adalah tidak bertanggungjawab.Usahawan yang menyembunykan aib produk
adalah tidak bertanggungjawab.
Pelbagai jamu, pil kesihatan keluaran tempatan dan luar negara dijual
dipasaran. Kebanyakan usahawan tidak mengendahkan keselamatan pengguna. Apa
yang penting ialah keuntungan. Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan
seperti mengharamkan produk yang berbahaya dan memberi kesan sampingan tetapi
usahawandegil tetap mahu menjual dan boleh didapati di mana-mana dengan mudah. Usahawan
yang mementingkan hak pengguna adalah usahawan yang diredai Tuhan.
5.Menunaikan zakat.
Islam adalah agama sederhana dan tidak menyusahkan umatnya. Zakat adalah rukun
islam, namun ianya hanya diwajibkan kepada orang yang mampu sahaja. Apabila
usahawan mampu dan layak mengeluarkan zakat, maka usahawan perlu mengeluarkan
zakat. Wujud usahawan yang tidak menunaikan zakat walaupun layak. Alasannya
ialah mahu menggunakan wang tersebut ke arah lain seperti melancong, membeli
perhiasan,membeli barang kemas dan lain-lain. Usahawan degil merasa rugi
mengeluarkan zakat walaupun tahu zakat itu wajib.
Zakat akan membersihkan
harta dan memberi banyak manfaat kepada orang memerlukan seperti orang miskin,
orang cacat, fakir dan lain-lain. Usahawan perlu mempunyai akaun kira
perniagaan dan membayar zakat jika layak jika mahu menjadiusahawan cemerlang
dan diredai Tuhan. Malah harta zakat akan menjadi saksi nanti diakhirat kepada
usahawan.
6.Sentiasa bersyukur.
Kebiasaannya manusia akan gembira bila mendapat nikmat dan kecewa dan sedih
apabila ditimpa kesusahan dan masalah. Begitulah dengan usahawan. Usahawan
perlu belajar menjadi manusia bersyukur ketika susah dan senang. Usahawan perlu
bersyukur ketika perniagaan menampakkan kemajuan dan tidak kecewa apabila
mengalami kemerosotan. Usahawan yang bersyukur akan merasakan kemerosotan
sebagai ujian dan dugaan dari Allah.
Menjadi usahawan yang bersyukur akan membersihkan usahawan daripada segala
sifat keji dan hina seperti hasad dengki, sombong, takabbur, ego dan
mementingkan diri sendiri. Sifat syukur juga akan mendidik usahawan menjadi
manusia yang sentiasa merendah diri. Usahawan perlu sentiasa bersyukur agar
diredai Allah dan nabi-Nya.Jangan hanya tahu bersyukur apabila mendapat
kesenangan tetapi menyalahkan Tuhan apabila ditimpa kesusahan dan masalah.
7.Sentiasa bertaubat.
Tiada manusia yang bersih tanpa noda,tidak terkecuali usahawan. Bertaubat
adalah jalan membersihkan diri. Manusia sering lalai dan lupa. Manusia sering
ditipu oleh nafsu dan syaitan. Usahawan perlu sering bertaubat untuk membersihkan
diri. Jangan jadi usahawan yang suka menipu dan melakukan perbuatan haram, kemudian
bertaubat untuk menghalalkan harta perniagaan. Ianya taubat yang tidak bernilai
di sisi Tuhan. Harta haram tetap haram. Ianya tidak akan menjadi halal walau
ribuan zikir taubat dilaungkan. Justeru usahawan perlu menjauhkan perbuatan dan
cara perniagaan yang haram. Amalkan cara dan panduan perniagaan berlandaskan
suruhan dan ajaran agama.
8.Menjaga perhubungan baik dengan manusia.
Usahawan banyak berinteraksi dengan pengguna dan pelanggan. Justeru usahawan
perlu menjaga hubungan baik.Bukan sahaja bermatlamat keuntungan dalam
perniagaan tetapi mahu mengekalkan silaturahim,persaudaraan dan kemanusiaan.
Usahawan perlu menjauhkan sikap yang menyakiti manusia lain seperti menggunakan
perkataan kesat, sindiran, penghinaan dan lain-lain. Usahawan juga tidak patut
memandang rendah kepada manusia lain terutama orang miskin dan hina. Sikap
sombong dan ego terutama berhadapan manusia serba kekurangan patut dijauhi.
Lihatlah bagaimana kereta mewah menghimpit penunggang motosikal, begitulah
sikap manusia ego dan tidak bertanggungjawab.
Usahawan perlu menjaga tingkah laku dan perbuatan agar tidak dibenci manusia
lain. Profesion usahawan bukanlah peluang menunjukkan kehebatan dan kebanggaan
tetapi adalah cara mencari rezeki halal dan mendapat keredaan Tuhan disamping
menjaga hubungan baik dengan manusia
9.Berjasa.
Sebuah hadis bermaksud “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling bermanfaat
kepada manusia lain”.Justeru usahawan boleh menjadi manusia yang paling banyak
berjasa kepada manusia lain kerana usahawan dilimpahkan rezeki yang lebih
banyak berbanding manusia yang makan gaji. Pelbagai perbuatan baik boleh
dilakukan usahawan jika mahu berjasa. Binalah perpustakaan persendirian di
kawasan anda dan beri peluang pelajar dan orang ramai memanfaatkannya. Bantulah
anak yatim dan pelajar miskin.Bantulah ibu atau bapa tunggal yang susah.
Binalah perhentian bas. Berilah sumbangan untuk membina dewan, surau, tempat
permainan dan lain-lain. Terlalu banyak perkara dan benda boleh dilakukan
usahawan jika mahu menjadi manusia berjasa. Usahawan perlu mengejar keuntungan
dan kekayaan, namun usahawan perlu berjasa kepada negara dan manusia
lain.Jangan sia-siakan kekayaan dan keuntungan. Jadilah
usahawan yang dikenang kerana kebaikan,bukan usahawan yang banyak menghabiskan
harta keuntungan di tempat maksiat dan dosa.
10.Membantu usahawan lain.
Jika anda berjaya dan cemerlang dalam perniagaan,bersyukurlah kepada Allah.
Buktikan kasih sayang anda kepada bangsa dan agama dengan membantu usahawan
lain supaya berjaya seperti anda. Andai anda berpeluang dan mempunyai
kelapangan, manfaatkan masa untuk memberi ceramah kepada usahawan terutama
usahawan baru, menulis artikel tentang perniagaan di akhbar dan majalah,
menulis buku tentang perniagaan. Berikanlah ilmu, kemahiran, pengalaman dan
pengetahuan kepada usahawan lain. Ramai usahawan menunggu buku karangan
usahawan terkenal seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Halim Saad, Datok Saleh Sulong
dan lain-lain.
Berikan idea dan pengalaman berguna kepada usahawan lain.Sekiranya tidak mampu
membantu dengan wang ringgit,berikanlah ilmu.Ini berdasarkan sebuah pepatah
cina yang bermaksud “Apabila seseorang meminta ikan, jangan beri ikan tetapi
berilah pancing dan ajarkan dia memancing ”.